Sempurnalah satu kekejaman
Zainudin Maidin
Ketika Barat dan rakyat Amerika Syarikat merayakan kejayaan
pembunuhan Ketua al-Qaeda, Osama bin Laden yang didakwa sebagai dalang
serangan berani mati 11 September yang meruntuhkan bangunan Pusat
Dagangan Dunia (WTC) dan membunuh beribu orang di New York , saya
terkenangkan tragedi pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian di Sabra
dan Shatila di Palestin.
Sebuah lagu puisi, Balada Seorang Gadis Kecil karya Allahyarham
Zubir Ali mengenai peristiwa itu kembali mendayu dan menyayat perasaan
saya.
Saya juga terkenangkan atas suatu cerita rekaan semata, berlaku
pembunuhan ke atas ribuan rakyat Iraq dan pemimpinnya Saddam Husein
dan diikuti dengan serangan pihak yang sama ke atas Libya yang
membunuh anak lelaki Presiden Muammar Gaddafi dan ribuan rakyatnya
selepas kebangkitan rakyat menuntut kebebasan dan demokrasi di
Tunisia, Mesir, Bahrain, Yemen, Syria dan Sudan.
Saya pernah berjabat tangan dengan kedua pemimpin itu, merasakan
cengkaman keras mereka tetapi apakah hak negara asing untuk menceroboh
negara mereka?
Betapa soft power kuasa besar, Internet, facebook dan twitter
berjaya menyusup dunia tanpa sempadan menghasut kebangkitan popular
dalam negara , mencetuskan perang saudara dan pembunuhan sebangsa dan
seagama.
Ketika semua aparatus media Barat sedang meyakinkan bahawa
pembunuhan ketua “pengganas” Osama dialu-alukan diseluruh dunia
sebagai kejayaan AS membalas dendam hutang darahnya terhadap kematian
beribu orang di New York.
Saya terkenangkan bahawa ketua penjenayah perang, bekas Presiden
Amerika George Bush masih bebas dan belum ditangkap untuk dihadapkan
ke Mahkamah Antarabangsa seperti yang dihasratkan oleh Tun Dr.Mahathir
Pengasas dan Pengerusi KL Foundation To Criminalise War.
Apa yang sedang berlaku menepati pandangan Tun Mahathir dalam
suatu interviu dengan Al Jazeera tidak lama dahulu mengenai perang Iran
Iraq: “Selama lapan tahun, Iran telah kehilangan satu juta manusia.
Sekiranya AS hilang satu juta manusia, adakah anda tahu apa yang AS akan
lakukan, mereka akan mengebom seluruh dunia”
Tangan Amerika sendiri tidak lagi perlu untuk melakukan pengeboman
ini kerana ia telah mempunyai rakan-rakan perkongsian dalam
inspirasi dan ideologinya di mana mana untuk melancarkan perang saudara
atas nama demokrasi dan kebebasan bagi “Sebuah Dunia 1 Amerika”
Tun Mahathir yang dianggap sebagai “The Last Mohican of Asia” turut
sepi di atas strategi pembunuhan ke atas Libya kerana seluruh dunia
telah berjaya dikondisikan lebih dahulu pemikiran mereka oleh Presiden
Obama bahawa kejadian itu adalah lanjutan dari kebangkitan popular
rakyat di Tunisia dan Mesir.
Kebijaksanaan Obama ialah merancang kebangkitan popular di negara
negara Arab sahabat Amerika untuk merintis jalan ke arah kebangkitan
di negara-negara Arab yang tidak dapat menjamin keselamatan AS dan
Israel, tetapi tidak ada siapa yang menuduh campur tangannya, tidak
ada langsung sepanduk atau slogan anti AS atau Yahudi dalam tunjuk
tunjuk perasaan di Mesir, Tunisia dan lain-lain.
Melumpuhkan
Matlamat jaringan kebangkitan ini ialah untuk melumpuhkan
negara-negara yang berpotensi menjadi halangan kepada pencapaian
“Sebuah Dunia 1 Amerika.” Matlamat terakhirnya ialah Iran yang akan
dapat kita disaksikan setelah Libya dan Syria berjaya dijinakkan menjadi
seperti Arab Saudi, Dubai, Abu Dhabi, Oman dan lain-lain. Ketika itu
suara nasionalisme Arab semakin sepi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan pantas memberikan
pengesahan terhadap tindakan pembunuhan itu kerana dunia akan lebih
selamat dan aman tanpa Osama. Ini selari dengan dasar Malaysia yang
anti-ekstremisme dan kekerasan dari sejak awal kemerdekaan.
British telah meninggalkan warisannya untuk menjamin kemerdekaan
Malaysia selari dengan konsep ekonomi dan keselamatan Barat yang semakin
jelas sekarang dalam dunia yang sedang bergerak pantas kearah
globalisasi. Nasionalisme tidak lagi penting jika tidak selari dengan
globalisasi.
copy from news.faisunan.com
sumber dari Utusan Online - Rencana
No comments:
Post a Comment